BERI DEDAK KEPADA PENGUNDI : AZMIN DIBIDAS

 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan tindakannya menyerahkan wang tunai, komputer riba dan iPad kepada pengundi di Bukit Antarabangsa dan Gombak.

Difahamkan jumlah bantuan keseluruhan yang diedarkan kepada pengundi itu berjumlah kira-kira RM1 juta, sehingga mendapat bantahan beberapa pemimpin pakatan pembangkang.

Tindakan Azmin itu juga dilihat bertentangan dengan kenyataan beliau sebelum ini yang menyifatkan tindakan mereka yang menerima pelbagai bentuk bantuan daripada musuh politiknya sebagai pemakan dedak.

Azmin sebaliknya berkata, sumbangan tersebut bukan dedak menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sebaliknya merupakan peruntukan yang diluluskan dalam bajet kerajaan negeri.

“Bantuan kepada sekolah itu diberikan pada setiap tahun dan kita juga telah bentang, bahas dan putuskan dalam Belanjawan 2018,” katanya pada pemberita di Program Ramah Mesra Bersama Penerima Bantuan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, di Shah Alam, pada Isnin.

Sebelum ini, pengkritik sosial Chandra Muzaffar dilaporkan berkata, “malang” sekali pembangkang juga memberi sumbangan kepada rakyat sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) dan menyifatkan budaya “sumbangan” kini menjadi lebih tersusun dan tersebar.

Chandra yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, beliau tidak ingat sama ada perkara sebegitu pernah berlaku semasa beliau di pihak politik pembangkang.

Turut menempelak perkara itu ialah Pemangku Pengerusi Bersih, Shahrul Amam Saari yang mengingatkan Azmin tidak sepatutnya mencontohi amalan sedemikian.

Manakala Bekas Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, semua parti, sama ada BN atau PH tidak seharusnya meninggalkan prinsip pilihan raya yang bersih dan adil bagi membawa perubahan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.