PRU 14 : SHAHRIZAT TAK BERTANDING

Foto Syakirin Daud@Watan-Online

 

Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menolak semua spekulasi yang mengatakan beliau bakal bertanding di mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

Sebaliknya beliau yang ditemui mengesahkan tidak akan bertanding dalam PRU kali ini dan perkara itu sudah dimaklumkan pada pucuk pimpinan parti.

Menurutnya, beliau hanya akan memberikan sepenuh perhatian kepada usaha pemantapan jentera wanita BN yang merupakan salah satu daripada sayap jentera utama BN.

“Saya tidak akan bertanding, saya sudah maklumkan kepada presiden UMNO mengenai perkara ini.

“Saya juga faham sudah semestinya presiden UMNO-BN berhajat untuk ketua wanita menjadi calon, itu lumrah, tetapi pada saya yang lebih penting untuk diberi tumpuan sepenuhnya ialah kepada persediaan jentera wanita.

“Jadi sama ada Sungai Besar atau Bandar Tun Razak yang diperkatakan, itu lumrah, saya cuma mahu beri tumpuan kepada pemantapan jentera wanita sebagai jentera utama supaya lebih mantap, berdisiplin dan bersedian untuk PRU-14,” katanya ketika ditemui oleh media selepas majlis Pelancaran Portal Informasi Perundangan Asean di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur pada Isnin.

 

Foto Syakirin Daud@Watan-Online

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif dan Naib Canselor UM, Datuk Dr. Abdul Rahim Hashim.

Mengulas lanjut, Shahrizat yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO turut berkata beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan menentukan calon di Bandar Tun Razak dan Sungai Besar kepada presiden BN.

Beliau turut menegaskan tindakannya untuk tidak bertanding adalah tepat demi kepentingan parti.

“Untuk memenangi pilihan raya kita memerlukan dua faktor iaitu kita mesti mewakili parti yang mendapat sokongan rakyat dan mesti mempunyai jentera yang mantap.

“Oleh itu saya melihat saya mampu memberi sumbangan bermakna kepada parti sekiranya menumpukan perhatian kepada pengukuhan jentera.

“Jadi terpulang kepada presiden untuk mencari calon lain yang terbaik. Sebenarnya ramai cuma kita kena cari,” katanya.

 

Oleh : SYAKIRIN DAUD

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.