BAHANG KEKALAHAN MAKIN TERASA, PEMIMPIN PKR CARI KERUSI SELAMAT

 

Beberapa pemimpin tertinggi PKR dijangka bertukar haluan kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut sumber, kemusnahan Pakatan Rakyat yang menyaksikan PAS keluar daripada pakatan itu selain persempadanan semula kawasan pilihan raya menjadi punca beberapa pemimpin utama PKR bergelut mencari kerusi yang selamat untuk mereka.

Difahamkan, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal bertanding di Parlimen Ampang dan penyandangnya Zuraidah Kamaruddin dikatakan lebih berminat bertanding di DUN Lembah Jaya pada PRU14 ini.

Tindakan Azmin mencari kerusi selamat dan meninggalkan Parlimen Gombak dipercayai khuatir susulan parlimen itu adalah lubuk pengundi PAS yang telah membantunya memenangi pilihan raya umum lalu.

Menurut sumber, spekulasi mengatakan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bertanding di Parlimen Pandan belum dapat disahkan.

Wan Azizah dijangka ke Parlimen Pandan bagi menggantikan penyandangnya Rafizi Ramli yang terpaksa ‘berehat’ pada PRU14 ini kerana terpalit dengan hukuman penjara oleh mahkamah.

Permatang Pauh parlimen tradisi PKR pula bakal menyaksikan puteri sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah bertanding di situ bagi meneruskan legasi keluarga mereka menguasai parlimen berkenaan.

Nurul Izzah dikatakan tidak selesa dengan asakan hebat Barisan Nasional (BN) yang diketuai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Lembah Pantai menyebabkan beliau mencari kerusi selamat di Permatang Pauh.

Sementara itu, ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong dijangka bertukar angin dan bertanding di Parlimen Batu menggantikan Tian Chua.

Manakala bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah pula sedang dipertimbangkan untuk kerusi Parlimen Petaling Jaya, dahulu dikenali sebagai Petaling Jaya Selatan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.