PERSEMPADANAN SEMULA LEMAHKAN PAS – HADI

 

PAS menuduh Barisan Nasional (BN) membuat pindaan ataupun persempadanan kawasan pilihan raya bertujuan bagi melemahkan kubu kuat parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, proses persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih cenderung kepada Parlimen yang dimenangi PAS yang mempunyai jumlah pengundi sehingga 100,000 orang.

Abdul Hadi mendakwa BN kononnya terpaksa berbuat demikian memandangkan undi yang diperoleh parti itu semakin meningkat.

“Kita saksikan bagaimana pindaan kawasan yang kuat Pas seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, satu Parlimen 90,000 hingga 100,000 pengundi.

“Di Johor satu Parlimen hanya ada 40,000 pengundi di Putrajaya pula ada 16,000 pengundi. Dia (BN) banyakkan kerusi supaya kawasan dia kuat,” katanya pada sidang media sempena Gelombang Hijau Perak di Seri Iskandar, Perak pada Selasa.

Pada PRU13 PAS memenangi 14 kerusi daripada 73 Parlimen yang ditandinginya ketika masih bersama Pakatan Rakyat.

Abdul Hadi juga berkata, beliau tidak menolak kemungkinan PAS berupaya memenangi lebih banyak kawasan Parlimen yang mempunyai lebih 90,000 pengundi di negeri-negeri pantai timur jika proses pilihan raya telus dan adil.

“Tempat kita kuat sepatutnya tiga Parlimen, itu kekuatan kita. Kalau pilihan raya telus, adil dan sudah lama kita menang,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.