NIAT DAP ‘PERKUDA’ MAHATHIR TERBUKTI – NAJIB

 

“Apa yang kita syaki sudah diluahkan secara terbuka, lagi terang bersuluh, nawaitu (niat) mereka (DAP) perkudakan Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, DAP tidak pernah lupa dendamnya terhadap bekas Perdana Menteri itu, tetapi tetap mempergunakannya bagi memecahbelahkan undi orang Melayu.

Najib yang Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau yakin Mahathir akan ‘ditendang’ sekiranya Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya.

“Kasihan orang 93 tahun itu…orang 93 tahun ini sudah gayut, ada banyak kekurangannya…bukan sudah Maghrib, tetapi dah masuk Isyak.

“Dipaksa bertanding kerana hendak pecah belahkan undi orang Melayu…ini adalah jelas tujuannya semata-mata untuk pergunakan satu sama lain.

“Bukan ‘wa caya sama lu’, tetapi ‘gua mau gunakan lu saja’…jangan terpedaya politik seperti ini,” katanya ketika berucap dalam program ramah mesra di Wangsa Maju, Selasa malam.

Hadir sama calon BN Parlimen Wangsa Maju, Datuk Seri Yew Teong Look dan Ketua Bahagian UMNO Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah.

Sementara itu, Najib mengingatkan rakyat supaya tidak mempertaruhkan masa depan mereka kepada parti yang bercelaru.

Katanya, jika PH menang Putrajaya mereka tidak mampu untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

 

Oleh: HASPAIZI MOHD ZAIN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.