KUNAN YAKIN BARISAN NASIONAL MENANG BESAR

 

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tengku Adnan Tengku Mansor yakin BN akan mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) yang hanya berbaki tiga hari lagi.

Menurutnya, perkara tersebut dapat dinilai berdasarkan momentum kempen BN serta penolakan rakyat terhadap pembangkang yang disifatkan tidak mempunyai halatuju untuk mentadbir negara.

“Momentum kempen BN dalam satu tahap yang baik dan saya berkeyakinan bahawa BN akan capai kemenangan besar dalam PRU akan datang.

“Saya tidak melihat rakyat akan pilih pembangkang kerana mereka tidak mempunyai halatuju sebenar.. Kita ada halatuju, matlamat, kita telah keluarkan manifesto yang kita yakini akan capai seperti yang kita telah capai dalam manifesto PRU 13.

“Saya berkeyakinan rakyat akan beri peluang lagi kepada BN untuk memastikan masa depan mereka akan terjaga kerana pembangkang masih lagi kabur,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pecah Tanah Kompleks Masjid Ar Rahman dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Presint 16 di Putrajaya pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, calon BN bagi Parlimen Putrajaya itu sekali lagi menegaskan tindakan kerajaan memberikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bukan satu siri ‘dedak’ untuk memancing undi rakyat.

Beliau turut mendakwa pembangkang tidak mempunyai niat yang betul untuk membentuk kerajaan dan hanya mahukan kuasa tanpa halatuju yang jelas.

“BR1M bukan dedak, kita beri (BR1M) kepada rakyat untuk bantu secara tunai untuk meringankan bebanan kehidupan mereka.

“Tetapi puak-puak ini (pembangkang) macam-macam dia cakap, saya tahu rakyat lebih tahu menilai.

“Mereka juga sudah rancang untuk hapuskan BR1M dan kurangkan jumlah penjawat awam bila mereka berkuasa, nyata mereka tiada hala tuju, matlamat dan hanya mahukan kuasa demi perkara tertentu,” katanya.

 

  • Wartawan : SYAKIRIN DAUD
  • Videographer : ZUL HAFIZ BAHRIN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.