MUHYIDDIN SAHKAN BUKAN CALON MB JOHOR

 

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau bukan calon Menteri Besar Johor yang baharu.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor itu, namanya tidak ada dalam senarai calon Menteri Besar kerana berniat memberikan ruang kepada pemimpin baharu.

“Saya buat keputusan itu bagi memberi ruang kepada orang muda.

“Masa saya boleh manfaatkan untuk memberikan banyak tunjuk ajar, nak kata mentor, mentor lah,” katanya pada sidang media di Senai, pada Jumaat.

Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah memberikan beberapa nama calon Menteri Besar kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan akan diputuskan sebelum majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor yang akan diadakan 3 petang esok.

“Pemilihan calon Menteri Besar mengambil kira pengalaman dalam pentadbiran, pengalaman dalam politik, dia punya latar belakang, kelulusan, kelayakan dan pelbagai yang lain.

“Ini penting kerana kita sedar pengundi mengharapkan sesuatu yang pastinya lebih baik untuk memastikan agenda kita nak lakukan dapat dilaksanakan di bawah satu pimpinan kukuh dan berpengalaman,” ujarnya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.