MIC KEKAL DENGAN BERSYARAT

 

Parti MIC menegaskan untuk kekal bersama Barisan Nasional (BN) dalam melakukan perubahan bagi menghadapi cabaran politk masa hadapan, ujar Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramanian.

Namun menurutnya parti itu akan mempertimbangkan pilihan lain sekiranya perubahan yang diharapkan dalam BN tidak berlaku.

“Hari ini, kita (MIC) masih sebahagian daripada BN, kita merasakan BN perlu melakukan pembaharuan untuk menghadapi cabaran semasa dan kita akan melihat jika perubahan itu berlaku, kita boleh menjadi relevan kepada cabaran politik.

“Jika tidak, kita akan mencari pilihan lain,” katanya seperti dilapor media ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn pada Isnin.

Tambah beliau, parti komponen lain dalam BN perlu sepakat membuat perubahan dengan mengambil kira kelemahan yang ada untuk terus kekal relevan.

Dalam perkembangan lain, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berkata semua parti komponen akan melakukan post-mortem bagi mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan mereka.

“BN masih utuh, mereka yang berada dalam BN, kita perlu mengharungi bersama,” katanya.

MIC hanya memenangi dua kerusi Parlimen iaitu di Tapah dan Cameron Highlands manakala MCA satu kerusi di Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lepas.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.