BN DESAK PH BENTUK KABINET SEGERA

 

Barisan Nasional (BN) mahu Pakatan Harapan (PH) membentuk Kabinet secepat mungkin agar negara boleh terus bergerak seperti biasa.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ini kerana rakyat di seluruh negara resah dan gelisah kerana tidak nampak bayangan jelas pembentukan Kabinet walaupun sudah seminggu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selesai.

Menurutnya, setakat ini banyak pengumuman dasar dan halatuju kerajaan diumumkan oleh mereka yang bukan menteri dan ia bertentangan dengan tatacara urusan kerajaan.

“Malah ini juga akan mengundang masalah kerana mereka yang mengumumkan dasar tidak ada legitimasi untuk berbuat demikian.

“Menjadi harapan kami penubuhan Kabinet berjalan dengan teratur demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Rahman berkata, urusan mentadbir negara perlu didahulukan daripada pertimbangan lain.

Tambah beliau, dalam masa yang sama, UMNO mahu proses perlantikan menteri Kabinet mengikut proses yang termaktub dalam Perlembagaan dan menghormati kedaulatan Majlis Raja-Raja.

Katanya perlantikan ahli Kabinet yang tidak teratur atau dibuat ala koboi akan mengakibatkan negara kita hilang integriti dan tidak dihormati.

“Umpamanya pengumuman YB Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri mendapat reaksi negatif daripada rakyat. Pastinya YAB Tun Dr Mahathir Mohamad tahu YB Lim Guan Eng kini menghadapi pertuduhan rasuah dan akan menjalani proses perbicaraan.

“Tidak hairanlah YAB Tun Dr Mahathir Mohamad membuat ‘u-turn’ mengenai perlantikan Menteri Kewangan apabila tindakannya dipersoalkan oleh rakyat,” tambah beliau.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, BN mahu kerajaan PH mentadbir negara dengan baik selain memenuhi janji-janji dalam manifesto pakatan itu dalam tempoh 100 hari.

Katanya, ia termasuk memberikan autonomi segera kepada Sabah dan Sarawak serta mengotakan janji untuk menambah 15 peratus royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.