MAJLIS PENASIHAT KERAJAAN PANGGIL IRWAN

 

Majlis Penasihat Kerajaan meneruskan kerja sejak dibentuk Sabtu lepas, menghadiri pelbagai mesyuarat dan taklimat, bagi membantu kerajaan baharu memenuhi janji 100 harinya.

Antara lain ahli majlis akan bertemu Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar dalam kapasitinya sebagai Pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), untuk taklimat pada Rabu.

Irwan ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam sejak semalam dengan kontraknya sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan tamat pada 14 Jun. Beliau tidak dibenarkan melakukan sebarang tugas membabitkan Kementerian Kewangan (MoF).

Taklimat lain hari ini termasuk subsidi bahan api oleh MoF, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, projek-projek mega oleh Ketua Pengarah (DG) Unit Kerjasama Awam-Swasta, Datuk Seri Ahmad Husni Hussain dan perbelanjaan pembangunan oleh Timbalan DG (Sektor) Unit Perancang Ekonomi, Datuk Allauddin Anuar.

Sesi lain termasuk bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyHSR Corporation, Datuk Mohd Nur Ismail Mohamed Kamal dan CEO Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, membabitkan projek masing-masing.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin juga akan membentangkan laporan Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri bagi suku pertama 2018.

Kerajaan baharu Pakatan Harapan yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan bagi memberi nasihat sepanjang tempoh peralihan kuasa.

Lima ahli Majlis Penasihat juga akan memberi khidmat nasihat dan kepakaran dalam urusan berkaitan ekonomi dan kewangan.

Diketuai bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, ahli majlis yang lain terdiri daripada bekas gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan CEO Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram dan jutawan Tan Sri Robert Kuok.

Majlis itu mengadakan mesyuarat pertama serta-merta selepas pengumuman pembentukannya pada Sabtu yang berakhir hingga lewat malam.

Pada Ahad, ahli majlis bertemu ketua-ketua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar, CEO Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Turut hadir CEO Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, Pengarah Urusan Kumpulan & CEO Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah dan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Pada Isnin, ahli majlis mengadakan sesi taklimat bersama agensi penarafan kredit termasuk Moody’s Investors Service, Standard & Poor’s Global Ratings dan Fitch Ratings, selain pertemuan dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongres Kesatuan Pekerja-perkerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persatuan Pemaju-pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (REHDA).

Sementara itu, taklimat mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan oleh BNM dan MoF berlangsung semalam.

Ahli majlis kemudiannya mengadakan taklimat bersama pengurus dana tempatan dan antarabangsa sebelum bertemu Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Cina Kuala Lumpur, Pesatuan dewan Perniagaan India dan Dewan Perniagaan Melayu.

Mereka juga mengadakan pertemuan dengan ketua Public Bank, Maybank, CIMB, Bank Pembangunan dan EXIM Bank.

 

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.