ISU SPEAKER : MUKHRIZ YAKIN TIADA PRN

 

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yakin isu pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dapat diselesaikan sebelum persidangan DUN berlangsung pada 4 Julai ini.

Ini kerana katanya pada masa ini perbincangan antara kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) , PAS dan Barisan Nasional (BN) masih berjalan sekali gus menolak keperluan mengadakan pilihan raya negeri (PRN).

“Pada pandangan saya semua pihak mungkin juga termasuk PAS lebih memilih untuk tidak ada pilihan raya (PRN) kerana seperti mana saya nyatakan sebelum ini pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) ada datang berjumpa dengan saya menerangkan bahawa PRN tidak sama dengan PRU (pilihan raya umum).

“…di pihak SPR sahaja anggarannya RM18 juta (kos laksana PRN di Kedah yang ada 36 kerusi DUN), satu kos yang tak perlu dibelanjakan sekiranya kita dapat elak PRN berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Baucar Daging Raya 2018 di Taman Arowana di Ayer Hitam, Jerlun dekat sini, Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang pada Sabtu lepas dilapor menjangkakan berlaku PRN di Kedah berikutan isu pelantikan speaker DUN belum selesai hingga kini.

Mukhriz yang juga Pengerusi PH Kedah, berkata respons yang diterimanya menerusi perbincangan tidak rasmi bersama PAS dan BN turut menunjukkan isu berkenaan bukan suatu perkara yang sukar untuk diatasi.

“Kita tak sampai tahap tu. Saya tak ingat mereka (PAS dan BN) perlu berkeras. Itu sebabnya pendekatan saya selama ini dengan memujuk mereka, untuk kita sama-sama membangunkan negeri Kedah ini dalam kerajaan era baharu ini hubungan antara kerajaan dengan pembangkang ini tak sama seperti dahulu, kita mengiktiraf dan memperakui tugas dan tanggungjawab pembangkang,” katanya.

Menurut Mukhriz, beliau diyakinkan bahawa semua pihak yang terlibat dalam perbincangan itu diberi mandat oleh pucuk pimpinan parti masing-masing, justeru sebarang kenyataan yang dibuat dalam perbincangan itu bukan sekadar ‘cakap kosong’.

Wakil rakyat Parlimen Jerlun itu antara perkara yang beliau tawarkan kepada PAS dalam perbincangan tersebut ialah mengiktiraf peranan ketua pembangkang dengan menyediakan kemudahan seperti pejabat dan kenderaan rasmi.

Sementara itu, Mukhriz berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah bersetuju agar peruntukan pembangunan DUN turut disalurkan kepada wakil rakyat pembangkang.

 

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.