POLIS TAHAN SITI KASIM

 

Peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim, ditahan polis kerana didakwa menculik anak guamnya dan mengganggu penjawat awam menjalankan tugas, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata terdahulu pihaknya menyelamatkan seorang wanita berusia 24 tahun di sebuah kondominium di Segambut, di sini, kira-kira jam 9 malam pada Sabtu.

“Tindakan itu ekoran satu laporan polis dibuat ibu mangsa pada 21 Jun lalu mendakwa anaknya dilarikan oleh Siti Kasim ketika sedang menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Kajang.

“Laporan polis juga dibuat oleh anggota polis yang mengiringi wanita itu mengenai kekecohan berlaku di wad pemeriksaan apabila Siti Kasim menyerbu masuk walaupun cuba dihalang pengawal keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadzil berkata, mangsa cuba dikesan untuk diselamatkan sebaik polis menerima maklumat bahawa dia berada di sebuah kondominium di Segambut.

“Ketika cuba diselamatkan, mangsa enggan memberi kerjasama dengan mengunci diri di dalam rumah berkenaan. Bagi memastikan mangsa tidak mencederakan dirinya dan orang lain, kami terpaksa memecah masuk ke dalam rumah itu.

“Mangsa kemudian dihantar ke hospital semula untuk menjalani prosedur pemeriksaan yang tertangguh sebelum ini, selain membolehkan pegawai penyiasat mendapat keputusan daripada doktor,” katanya.

Beliau berkata, Siti Kasim ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 12.40 tengah malam tadi.

“Permohonan reman akan dibuat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana culik serta menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

Kejadian itu turut tular dalam media sosial malam tadi yang merakam kekecohan insiden berkenaan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.