TUTUP KLINIK SWASTA BERPUNCA SIKAP SENDIRI – DR DZULKEFLY

 

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penutupan banyak klinik swasta di negara berpunca daripada sikap pengendali klinik itu sendiri.

Beliau berkata,pengendali klinik swasta tidak seharusnya menjadikan isu kegagalan mendapat status panel dengan syarikat insurans menyebabkan mereka mengalami kerugian.

“Sikap bergantung keuntungan menjadi klinik panel insurans perlu dikikis. Rangka pendekatan untuk menarik pelanggan.

“Ada macam-macam cara yang boleh dilakukan untuk menarik pelanggan yang mahu mendapatkan rawatan datang ke klinik kita.

“Selain kualiti perkhidmatan yang ditawarkan, fasiliti yang selesa serta harga munasabah boleh menarik pelanggan,” katanya ketika ditemui selepas program Bicara Minda di Kompleks Media Karangkraf di Shah Alam pada Isnin.

Dr Dzulkefly berharap beberapa pendekatan serta polisi baharu yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan akan menyuntik operasi klinik swasta.

“Contohnya kerjasama antara klinik swasta dan kerajaan untuk program Peduli Sihat di Selangor akan membantu pengendali klinik swasta mendapat sedikit keuntungan,” katanya.

Sebanyak 758 klinik swasta ‘gulung tikar’ dalam tempoh tiga tahun sejak 2015 dengan sebahagian besar berpunca kegagalan mendapat status panel dengan syarikat insurans.

Kebanyakan klinik swasta sama ada perubatan atau pergigian tidak mampu bersaing dalam pasaran yang terhad tanpa status panel insurans, malah sering kali terkeluar daripada senarai klinik untuk dikunjungi pesakit.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.