POLIS KENAL PASTI LOKASI JAMAL

 

Polis sudah mengenal pasti lokasi Datuk Seri Jamal Yunos di Indonesia selepas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu menghilangkan diri sejak 25 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah meminta kerjasama pihak berkuasa di Indonesia bagi membawa balik Jamal.

“Kita bekerjasama dengan Polis Indonesia dan semuanya berjalan lancar.

“Mereka (Polis Indonesia) juga sudah berikan bayangan tindakan susulan untuk menahan Jamal. Kita akan ambil tindakan dan bawa beliau balik ke Malaysia,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri di Kompleks 3, Cawangan Khas Bukit Aman di Kuala Lumpur, Selasa.

“Sebelum ini PDRM bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan Jamal yang dipercayai melarikan diri ke sebuah kepulauan di negara jiran itu.

Jamal, 48, yang sedang menjalani rawatan sakit belakang dilaporkan menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri sebelum disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang, 25 Mei lalu.

Beliau sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Jamal bagaimanapun mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya yang dilakukan di hospital itu dan menyangka proses berkenaan sudah selesai sebelum beredar keluar untuk ke Tabung Haji bagi mengeluarkan wang.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.