EMPAT FORMULA PULIHKAN UMNO – ANNUAR

 

Tan Sri Annuar Musa mengenengahkan empat bagi transformasi parti dalam usaha mengembalikan kekuatan UMNO jika berjaya memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, empat formula itu ialah menjaga kebajikan dan menunaikan tanggungjawab kepada rakyat, jangan berebut dan berpecah belah, teknik bekerja serta kesungguhan jentera peringkat bawah.

Beliau berkata, jika keempat-empat formula itu digunakan, UMNO pasti akan memperoleh kejayaan seperti mana berlaku di kerusi Parlimen Ketereh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas yang memperoleh majoriti berlipat kali ganda pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), bulan lalu.

“Perpecahan yang paling ketara berlaku apabila masing-masing bergaduh sejak kempen PRU14 lalu, kesannya kini UMNO hanya tinggal 54 kerusi berbanding 58 kerusi sebelum ini.

“Kita berpecah bukan kerana isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau dana RM2.6 bilion…saya tidak kata isu ini tidak besar,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh, di Kota Bharu, pada Sabtu.

Pada pemilihan hari ini, Annuar berdepan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi jawatan Timbalan Presiden.

Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO, berkata pasca perang akan terus berlaku termasuk rampasan kuasa dan harta, namun UMNO perlu dijaga dengan sebaiknya supaya bahtera akan terus dilayarkan.

“Saya tidak pernah bercita-cita untuk pergi lebih jauh, namun hari ini saya menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden kerana tidak sampai hati berada di ‘belakang’ ketika kapal ini terus dipukul ombak.

“Apapun, jika saya tidak terpilih, saya tidak akan berduka cita dan akan terus setia bersama parti. Biarpun UMNO bukan lagi kerajaan, tapi UMNO masih dipandang rakyat kerana ini adalah parti keramat,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.