KEBAL TEGURAN PUNCA UMNO TEWAS

 

Sikap pemimpin yang ‘kebal’ teguran dan kritikan adalah punca kekalahan UMNO serta Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Justeru, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, meminta rakyat dan ahli tidak semberono menyalahkan UMNO sebagai parti penyebab BN kecundang pada PRU lalu.

“Insiden mengenai 1MDB, masalah ini diperbual sejak 2015 lagi, pada waktu itu, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) datang merasmikan Bahagian saya.

“Sejak waktu itu, saya individu yang mendapat tekanan sehingga memaksa saya mendiamkan diri tetapi kerana saya sayang parti, saya tidak akan tinggalkan ahli dan saya diamkan diri.

“Walaupun pada satu ketika, saya (pernah) bercakap soal 1MDB, saya benarkan ahli bercakap dan menegur tetapi masalahnya (ketika itu) kita tiada bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Cheras 2018 di dewan Kolej Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), di sini pada Sabtu.

Pada hari ini turut berlangsung pemilihan kepemimpinan UMNO di lokasi sama yang bermula kira-kira jam 10 pagi, secara tertutup.

Mengulas mengenai pemilihan Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) lain, Syed Ali mahu akar umbi menilai calon berkenaan supaya parti keramat orang Melayu itu dapat dipimpin oleh seorang ketua yang terbaik.

“Jangan ikut siapa saya undi. Saya beri peluang, ruang dan keterbukaan tanpa mempengaruhi undi mereka.

“Saya tidak kisah siapa yang anda undi. Kalau individu itu menang, orang yang kita pilih ini akan buat pembaharuan demi memulihkan kekuatan UMNO.

“Ramai lari keluar parti. Lama-lama siapa tinggal dalam UMNO? Justeru, kita kena muhasabah diri kita sebagai pejuang untuk bangsa kita,” katanya ketika berucap.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.