SIKAP WALAK ADA HADNYA – NOH

 

Ahli UMNO perlu membuang sikap walak atau kesetiaan kepada pemimpin tertinggi, jika individu yang diamanahkan memimpin parti itu melakukan kesalahan.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, sikap walak itu ada hadnya serta sudah tiba masanya parti untuk berubah dengan tidak terlampau mengongkong ahli parti untuk menyuarakan pendapat.

“Kebebasan ini termasuk memberi peluang kepada perwakilan UMNO Bahagian untuk memilih sendiri bakal pemimpin untuk menerajui parti.

“Contoh pemimpin bahagian bagi satu nama untuk diangkat di peringkat pusat dan semua ahli kena sokong calon yang telah dicadangkan ini. Sikap sebegini sudah tidak boleh diterima dan perlu diubah.

“Kadang-kadang ahli UMNO terlampau walak membuta-tuli.’Akhirnya rakyat di luar sana menilai ahli UMNO terlampau menjaga pemimpin atasan. Sebab itu saya tegaskan tidak mahu budaya sebegini ada lagi dalam UMNO,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang, pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, semua Bahagian UMNO Selangor setakat ini tidak terkesan dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan akaun UMNO negeri.

“Saya tidak tahu menahu mengenai punca perkara itu berlaku. Saya tak tahu apa punca pembekuan. Kalau dikaitkan dengan isu 1MDB, setahu saya ia terjadi pada 2013 yang ketika itu saya hanyalah Timbalan Pengerusi UMNO Selangor.

“Saya tidak tahu sebab apa akaun dibekukan. Ada orang beritahu pembekuan ini berkaitan dengan 1MDB,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.