KHAIRY TOLAK JADI SETIAUSAHA AGUNG BN

 

Khairy Jamaluddin yang tewas bagi merebut jawatan Presiden UMNO menolak jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang ditawarkan kepadanya oleh pucuk pimpinan parti.

Sebaliknya Ahli Parlimen Rembau itu mahu memberi tumpuan dan fokus kepada tugasnya selau Ahli Parlimen Rembau tanpa memegang apa-apa jawatan penting dalam parti.

“Terima kasih DS@Zahid_Hamidi kerana menawarkan saya jawatan Setiausaha Agung BN tadi. Saya memberi tahu beliau saya tidak mahu pegang apa-apa jawatan tinggi parti. Saya memberi fokus kepada tugas sebagai Ahli Parlimen. Sedia bantu dan tetap bersama UMNO,” tulis Khairy di laman sosialnya.

Sementara itu Khairy berkata beliau kecewa meskipun tewas, sebaliknya bangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah apabila berpeluang bersaing dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan nombor satu dalam UMNO.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid kerana memenangi pertandingan ini dan setinggi tahniah juga kepada Tengku Razaleigh yang menawarkan kebijaksanaan serta pengalaman sebagai seorang negarawan.

“Tahniah juga diucapkan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan yang memenangi jawatan Timbalan Presiden dan seterusnya membanggakan warga Rembau dan orang Negeri Sembilan.

“Buat barisan jentera saya serta penyokong, jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan saya ucapkan kepada anda semua. Begitu juga dengan rakyat Malaysia secara keseluruhan yang mengikuti pemilihan UMNO ini dengan dekat.

“Terima kasih atas sokongan dan kata-kata semangat anda semua,” katanya menerusi Facebook rasminya.

Ahmad Zahid dipilih sebagai Presiden UMNO yang baharu selepas menewaskan Tengku Razaleigh dan Khairy serta dua calon lain dalam pertembungan lima penjuru merebut jawatan tertinggi parti.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.