MAHATHIR UCAP TAHNIAH PADA ZAHID

 

Tun Dr Mahathir Mohamad mengucap tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana terpilih menjadi Presiden UMNO baharu bagi penggal 2018/2021.

Perdana Menteri berkata, kemenangan yang diperoleh beliau cukup besar.

“Tahniahlah… Saya ucap tahniah kerana menang. Kemenangannya membuktikan bahawa beliau (Zahid) disayangi orang UMNO,” katanya yang ditemui selepas meninjau persiapan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi, Kuah di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi, berkata demikian ketika diminta mengulas kemenangan Ahmad Zahid yang terus mendapat kepercayaan dan keyakinan ahli UMNO apabila dipilih sebagai Presiden UMNO baharu.

Keputusan itu sekali gus menjulang Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang sebelum ini menjalankan tugas pemangku Presiden UMNO sebagai Presiden UMNO kelapan.

Ahmad Zahid, yang sebelum ini naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden, dipilih sebagai Presiden UMNO apabila mendapat 93 undi, jauh meninggalkan dua pencabar utamanya iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang memperoleh 51 undi dan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah yang meraih 23 undi.

Sementara itu di Kuala Lumpur, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, turut mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid atas kemenangannya.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada Ketua UMNO Bahagian Rembau dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan selepas dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO baharu semalam.

“Tiba masanya kita mengukuhkan barisan kita demi agama, bangsa dan negara ,” katanya menerusi laman Twitter pada Ahad.

Mohamad dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO selepas mendapat 110 undi menewaskan Ketua Penerangan UMNO merangkap Anggota Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (47 undi) setakat semalam.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.