MAT SAID SEDIA PIMPIN UMNO TERENGGANU

 

Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said sedia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri sekiranya diberi peluang sekali lagi untuk mengemudi parti itu.

Ia juga sebagai persediaan merampas kembali Terengganu daripada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) depan.

Mengimbau kembali sejarah 1999, ketika dipilih memegang jawatan Ketua Bahagian, Ahmad Said berkata UMNO ketika itu kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kemaman, namun berjaya dirampas semula pada PRU-12.

Bagaimanapun, katanya, pada PRU-14, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu menerima tamparan hebat apabila kehilangan tujuh kerusi DUN dan hilang empat kerusi termasuk Parlimen di bahagiannya.

“Berdasarkan pengalaman saya, PAS merampas Terengganu bukan kerana mereka kuat tetapi masalah dalaman yang dihadapi UMNO sendiri.

“Sebagai contoh, pada 1999, PAS dapat merampas Terengganu kerana kes pemecatan Timbalan Perdana Menteri (ketika itu), Datuk Seri Anwar Ibrahim…Negeri ini tumbang sekali lagi kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang terpalit pada bekas presiden,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman, di Chukai, lewat malam pada Sabtu.

Bagaimanapun, Ahmad Said berkata, keputusan pemilihan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri adalah kuasa mutlak Presiden UMNO.

“Terserah kepada Presiden untuk memilih, namun sekiranya diberi peluang saya akan bekerja untuk UMNO dan ingin melihat parti ini dapat merampas kembali Terengganu,” katanya.

Semalam, Ahmad Said menepati ramalan apabila mengenepikan pencabarnya, Mat Dalam Awang dalam pertandingan dua penjuru bagi merebut kerusi Ketua UMNO Bahagian Kemaman.

Beliau memperoleh undian terbanyak iaitu 570 undi berbanding pencabarnya yang hanya mendapat 126 undi daripada 718 perwakilan yang hadir di Pejabat UMNO Bahagian Kemaman.

 

Sumber BHONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.