ZAHID DIUMUM PRESIDEN UMNO BAHARU

 

 

Jawatankuasa Pemilihan UMNO mengesahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menang bagi merebut jawatan Presiden UMNO bagi penggal 2018-2021.

Keputusan itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur lewat malam Sabtu.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi Ahmad Zahid menang dengan majoriti mudah 78 undi, diikuti Khairy Jamaluddin, 53 undi dan Tengku Razaleigh Hamzah 28 undi.

Manakala bagi jawatan Timbalan Presiden pula, Datuk Seri Mohamad Hasan menang dengan 110 undi, manakala Tan Sri Annuar Musa 47 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, hanya dua calon yang sudah disahkan menang iaitu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan 146 undi dan Datuk Seri Mahdzir Khalid 99 undi.

“Masih ada 34 kawasan lagi belum disahkan keputusannya. Pengiraan bagi calon ketiga Naib Presiden UMNO membabitkan Datuk Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Keputusan penuh akan dikeluarkan esok (Ahad) selepas semuanya disahkan,” katanya pada sidang media.

Sementara itu, jawatan Pengerusi Tetap UMNO terus disandang Tan Sri Badruddin Amiruldin yang memperoleh 152 undi.

Dalam pada itu, Tengku Adnan turut memaklumkan pemilihan bagi bahagian Bakri ditangguhkan kerana wujud masalah seperti yang dilaporkan pihak pemantau.

Bagaimanapun beliau tidak memaklumkan masalah berkenaan.

 

Oleh: Haspaizi Mohd Zain

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.