ZAHID TIDAK KETEPIKAN KU LI, KHAIRY

 

Sebagai mengotakan janjinya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan mengenepikan Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin dalam pentadbiran baharu parti itu.

Sebaliknya Ahmad Zahid berkata, Tengku Razaleigh ataupun Ku Li dan Khairy yang juga calon Presiden UMNO akan turut diberi tempat dalam parti itu.

Beliau berkata, perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk memutuskan jawatan kepada dua pemimpin berkenaan.

Bukan itu saja, manifesto yang dibawa oleh Tengku Razaleigh dan Khairy juga akan turut dinilai oleh beliau dan saf kepemimpinannya untuk diketengahkan.

“Peranan yang akan dimainkan oleh kedua-dua calon Presiden (UMNO) seperti janji saya untuk bawa mereka bersama bagi mengorak langkah membawa pembaharuan seperti dilontarkan mereka.

“Saya akan putuskan perkara ini pada MT…dalam pentadbiran baharu ini juga rombakan dilakukan bagi jawatan-jawatan pada peringkat MT,” katanya ketika sidang media sulung selaku Presiden UMNO di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, pada Ahad.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO yang baharu, Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan UMNO telah menterjemahkan demokrasi dalam erti kata sebenarnya apabila jawatan utama parti itu turut dibuka untuk ditandingi.

Katanya, sejak 1987 jawatan utama dalam parti itu tidak pernah ditandingi sehinggalah pemilihan parti itu semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata penyusunan semula jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri akan dilakukan mengikut situasai politik semasa di setiap negeri.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.