PEMILIHAN MT UMNO TIDAK MENGIKUT STATUS – LOKMAN ADAM

 

Datuk Lokman Noor Adam manzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam memberi kemenangan terhadap dirinya yang kini merupakan sebahagian dari Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT) dalam pemilihan UMNO 2018-2021.

Menurutnya, kemenangan dengan undi sebanyak 45,894 dan sumbangan undi dari 121 bahagian pada kali ini merupakan satu pembaharuan dalam pemilihan MT UMNO yang tidak hanya melihat kepada kedudukan mahupun jawatan seseorang pemimpin sahaja.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sahabat-sahabat, kenalan dan individu yang saya kenali atau tidak kenali, yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung dalam memenangkan saya sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

“Ini jelas menunjukkan bahawa hari ini kepimpinan UMNO bukan lagi milik mereka yang berada, mereka yang berjawatan Menteri, Ketua Bahagian ataupun mereka yang berstatus Wakil Rakyat sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Lokman Adam yang juga merupakan Presiden Pemantau Malaysia Baharu (PMB) berharap untuk terus menjadikan parti keramat ini sebagai tunjang utama dalam memperjuangkan hak dan suara rakyat.

“Semoga dengan penerimaan rakyat biasa seperti saya dalam kepimpinan UMNO diperingkat pusat, dapat membantu dalam menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan denyut nadi rakyat, terutamanya dalam soal Agama, Bangsa, Tanahair dan Kedaulatan Raja-raja Melayu.

“Terima kasih yang tidak terhingga sekali lagi. Moga Allah s.w.t. membalas budi dan jasa baik kalian. Allahuakbar!,” katanya.

 

Oleh : HAZIERRA LUKMAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.