JAMAL AKAN DIEKSTRADISI KE MALAYSIA

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berhubung dengan Polis Republik Negara Indonesia (POLRI) bagi tujuan mengekstradisi Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beberapa hari perlu diambil bagi menyelesaikan beberapa perkara melibatkan proses perundangan sebelum urusan membawa pulang Jamal dapat dilakukan.

“Saya telah berhubung dengan POLRI yang mengesahkan Jamal telah ditangkap dan kini dalam keadaan baik,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi percaya
Jamal menggunakan laluan tikus untuk melarikan diri ke Indonesia.

“Apa pun siasatan lanjut akan dilakukan dan PDRM telah sediakan pasuka untuk bawa Jamal balik ke negara ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Jamal Md Yunos telah ditangkap oleh POLRI.

Jamal dikehendaki polis kerana disiasat berhubung sembilan kes yang dikaitkan terhadapnya.

Beliau melarikan diri semasa proses ikat jamin dijalankan di Hospital Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.

Jamal didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam.

Dia juga disiasat mengikut Seksyen 34 Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata api semasa dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh.

Mahkamah Majistret Shah Alam kemudian mengeluarkan waran tangkap ke atas Jamal pada 8 Jun lalu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.