HSR : KEPUTUSAN BOLEH PENGARUHI PASARAN – PM

 

Keputusan Malaysia mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur-Singapura perlu dibuat dengan berhati-hati kerana bimbang tindak balas negatif pasaran.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, setakat ini belum ada keputusan dicapai dengan Singapura mengenai projek itu, namun percaya republik itu tahu apa yang Malaysia mahukan.

“Keputusan untuk projek ini bukan mudah untuk dibuat, kerana pasaran akan memberi tindak balas negatif apabila sebarang pengumuman dibuat (berkenaan projek).

“Ini kerana kita menemui banyak salah laku dalam kerajaan (terdahulu), jadi apa yang kita lakukan ialah memastikan kewangan negara diurus sebaiknya.

“Bila kita buat pengumuman, ada pihak akan beri reaksi, jadi perlu berhati-hati dengan apa yang kita akan cakap. Kita belum lagi beri notis penuh kepada Singapura, tapi kita tahu apa yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program sehari Taklimat Governans, Integriti dan Anti Rasuah di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan, Singapura masih menunggu jawapan balas rasmi dari Malaysia berhubung projek HSR berkenaan.

Pada 1 Jun lalu, republik itu meminta Kerajaan Malaysia melalui saluran diplomatik mengesahkan kedudukan Malaysia berhubung projek berkenaan.

Memetik kenyataan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon di Parlimen, The Straits Times melaporkan bahawa ‘sehingga kini, Singapura masih belum menerima jawapan balas daripada Kerajaan Malaysia.’

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.