KM MELAKA TOLAK CADANGAN HAPUS TAHFIZ

 

Pendidikan tahfiz di seluruh negara tidak sepatutnya dihapuskan tetapi perlu ditambah baik, kata Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Beliau berkata pelajar lepasan tahfiz pada masa kini perlu lebih holistik supaya dapat ditempatkan dalam pekerjaan arus perdana yang diperlukan negara.

“Saya berpandangan tidak sepatutnya penutupan itu dicadangkan sebaliknya jika ada kelemahan di peringkat sekolah tahfiz itu, elok dilakukan penambahbaikan untuk kita memastikan pelajar tahfiz itu duduk juga di dalam arus perdana pekerjaan negara.

“Pada masa sama, sebarang penambahbaikan boleh dibuat dari semasa ke semasa,” katanya lapor media ketika menghadiri majlis penyampaian hadiah Kempen Bayar Cukai Tanah Dan Menang di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Melaka pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mencadangkan supaya kerajaan menutup sekolah tahfiz yang disifatkan tidak menjanjikan masa depan kepada generasi muda negara.

Cadangan Zainuddin itu bagaimanapun ditolak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Terdahulu, pendakwah bebas, Prof Dr. Ridhuan Tee Abdullah dalam sebuah ulasan turut menyuarakan bantahan terhadap cadangan menutup tahfiz.

Ridhuan dalam ulasannya yang tersiar dalam sebuah portal turut mempersoalkan kerakyatan individu yang mempersoalkan tahfiz dan menggesa Sijil Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina (UEC) diiktiraf.

“Jahil sungguh sebahagian orang Melayu yang bergelar dan berjawatan apabila berkata tutup sekolah tahfiz dan iktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina (UEC).

“Menjadi jahil murakab apabila mahukan sekolah tahfiz ditutup. Mereka ini rakyat Malaysia atau bukan? Membaca perlembagaan atau tidak?,” soalnya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.