PRK SUNGAI KANDIS : UMNO GUNA LAMBANG SENDIRI

 

UMNO perlu bertanding atas nama parti dan bukan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata langkah tersebut mampu menjadi kayu pengukur terhadap penerimaan rakyat di kawasan berkenaan terhadap parti itu sama ada ‘laku’ atau tidak.

“Kita kena transform UMNO jadi produk baharu yang boleh dibeli, bukan produk yang basi. Begitu juga dengan BN, kena ada resipi baru untuk tarik sokongan rakyat.

“Mungkin kita boleh ‘test market’ di Sungai Kandis bertanding atas nama UMNO bukan BN. Setuju atau tidak?,” katanya yang disambut sorakan oleh penonton.

Mohamad berkata demikian dalam Wacana Sinar Harian kali-64 yang berjudul ‘Mampukah BN Bangkit Semula?’ di Shah Alam pada Selasa.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Terdahulu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS hanya akan bertanding pada PRK Sungai Kandis sekiranya terdapat pertarungan satu lawan satu.

Katanya PAS akan berbincang lanjut sekiranya wujud pertembungan tiga penjuru atau lebih memandangkan parti tersebut hanya memperoleh undi sederhana di kawasan tersebut dalam PRU-14 lalu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.