ANNUAR SETIAUSAHA AGUNG UMNO

 

Tan Sri Annuar Musa ‘naik pangkat’ apabila dikatakan bakal dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ketua Penerangan UMNO itu tewas kepada Datuk Seri Mohamad Hasan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu bulan lalu.

Pemilihan Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh kerana kebolehan dan pengalaman beliau bersama UMNO yang cukup lama selain diyakini mampu membantu melancarkan pengurusan parti itu selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan mengumumkan perkara itu dalam masa terdekat.

Annuar adalah individu ataupun pemimpin UMNO yang pernah bekerja di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dipercayai memahami ‘politik’ bekas Presiden UMNO itu yang kini bersama Pakatan Harapan (PH).

Malah beliau juga antara yang lantang menjawab serangan pembangkang ketika itu terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Annuar ketika dihubungi Watan-Online memberi bayangan yang beliau akan menggantikan Tengku Adnan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut khabar angin itu.

Sebaliknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti itu untuk menentukan.

Ahmad Zahid pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini mengumumkan yang ia merupakan mesyuarat terakhir bagi Tengku Adnan dan Datuk Seri Mohd Rauf Yusof selaku Setiausaha Kerja UMNO.

Dalam pada itu, Datuk Mohd Sumali ReduanĀ pula bakal menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Rauf bagi jawatan Setiausaha Kerja UMNO.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.