BANTU DEMI MASLAHAT UMMAH – MB PERAK

 

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri Perak akan berbincang dengan pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah untuk mengenalpasti kaedah yang sesuai bagi membolehkan pusat tersebut beroperasi seperti biasa.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Datuk Azumu berkata beliau berjanji akan memberikan komitmen untuk membantu pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi.

“Saya komited untuk membantu pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah demi kepentingan para pelajar dan para kakitangannya.

“Saya juga menyambut baik keputusan Datuk Mohd Kazim Elias hari ini untuk menangguhkan cadangan penjualan Unit Tahfiz Al-Quran di Pusat Pengajian Al Barakah sementara mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri demi kemashlahatan ummah yang mendapat manfaat daripada aktiviti pengajian Islam di pusat berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan keputusan penceramah bebas, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias yang terpaksa menjual unit tahfiz Pusat Pendidikan Al Barakah yang diasaskan dan dikendalikan oleh beliau berikutan tidak mampu lagi menanggung kos pentadbiran yang mencecah RM150,000 sebulan.

Kazim seperti dilaporkan berkata beliau tidak lagi mendapat panggilan kuliah serta ceramah yang selama ini menjadi sumber kewangan pusat pendidikan tersebut.

Mengulas lanjut, Faizal berkata kerajaan PH tidak pernah mengenakan sekatan atau mengharamkan Kazim Elias untuk berceramah.

“Mengenai fitnah kononnya kerajaan Pakatan Harapan telah mengharamkan Datuk Mohd Kazim Elias dari berceramah, ingin saya tegaskan kerajaan negeri tidak pernah sama sekali, secara langsung atau tidak langsung mengeluarkan arahan sedemikian.

“Biarpun begitu, secara peribadi saya memaafkan pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat menyebarkan fitnah berkenaan serta mendoakan semoga mereka mendapat pengampunan dan petunjuk dari Allah SWT,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.