SEDIA MASUK PARLIMEN SEBAGAI PEMBANGKANG – NORAINI

 

Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 16 Julai ini tentunya dirasakan berbeza berbanding
penggal terdahulu apabila UMNO-Barisan Nasional (BN) yang sekian lama menjadi parti pemerintah kini berubah kedudukan kepada pembangkang dalam Dewan.

Perkara tersebut turut diakui oleh Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad yang merupakan salah seorang daripada Ahli Parlimen UMNO-BN yang terselamat dalam kemaraan tsunami rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

Walaubagaimanapun, Noraini berkata perbezaan tersebut tidak akan memberi banyak kesan kepadanya dari segi persiapan untuk melangkah masuk ke Dewan Negara sebagai pembangkang.

“Walaupun kali ini suasana agak berlainan kerana Ahli Parlimen UMNO-Barisan Nasional (BN) akan memasuki dewan sebagai pembangkang, namun kita telah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal.

“Malah persiapan berasaskan kajian kepada beberapa isu telah pun dilakukan sebagai bekalan untuk disuarakan dalam dewan nanti,” katanya ketika dihubungi Watan Online pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Noraini yakin dengan kemampuan beliau mengetengahkan isu yang perlu disuarakan dalam Parlimen memandangkan rekodnya sebagai Ahli Parlimen Parit Sulong semenjak tahun 2008.

“Pada penggal terdahulu saya juga dilantik sebagai Ahli Parlimen BN tanpa sebarang jawatan dalam Dewan.

“Jadi kita tiada sebarang masalah untuk berbahas dan menyuarakan keperluan dan tuntutan rakyat.

“Cuma pengisian kali ini berbeza disebabkan kita (BN) bukan kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai harapan beliau terhadap ketua pembangkang yang bakal dilantik, Noraini berkata jawatan tersebut perlu disandang oleh individu yang berkaliber dan boleh menyatukan semua ahli Parlimen pembangkang di dalam Dewan kelak.

“Parti-parti pembangkang akan berbincang dan memutuskan siapa yang bakal menjadi ketua pembangkang.

“Namun yang penting ketua pembangkang yang dilantik boleh diterima baik oleh semua parti dan boleh menyatukan ahli-ahli parlimen parti-parti ini,” katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya sebelum ini berkata akan melakukan perbincangan dengan PAS dan ahli Parlimen lain tentang kedudukan ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Zahid berjanji perbincangan tersebut akan diadakan sebelum sesi bermula pada minggu hadapan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.