HARGA DAGING DIJANGKA NAIK

 

Harga bekalan daging dijangka naik menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha kurang sebulan daripada sekarang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata item tersebut tidak tergolong dalam kategori barang kawalan dan harganya bergantung kepada penawaran dan tawaran.

“Oleh sebab itu, jangkaan harga bekalan itu akan naik menjelang hari raya korban disebabkan permintaan yang tinggi.

“Kita (kerajaan) hanya boleh berikan cadangkan agar rakyat menggunakan haknya sebagai pengguna dan membuat pembelian pada harga yang munasabah dan tidak membebankan.

“Manakala peniaga pula, kementerian suka menasihati agar berusaha mengamalkan etika peniaga yang baik dan selebihnya itu berasaskan kepada amalan pasaran ekonomi terbuka dan ekonomi bebas,” katanya dilapor media semasa sidang media Ekspo Peruncitan dan Francais Tempatan dan Antarabangsa 2018 pada Khamis.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kerajaan tidak mampu mengawal harga daging kerana negara tidak berupaya mengeluarkan bekalan yang mencukupi.

“Dahulu pernah ada usaha ternakan lembu untuk bekalan daging tempatan seperti National Feedlot Corporation (NFC) tetapi gagal.

“Atas sebab itu kita bergantung kepada daging import berbanding daging eksport sebagai bekalan kepada rakyat,” katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub sebelum ini menegaskan kementeriannya akan meneruskan projek NFC dengan lebih amanah dan berwibawa bagi memastikan negara tidak mengalami penyusutan bekalan daging.

Katanya, kerajaan akan memastikan objektif asal iaitu memastikan bekalan daging tempatan mencapai tahap 30 peratus dapat dicapai.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.