PERMOHONAN GUGUR KES RASUAH GUANG ENG 3 SEPTEMBER

 

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon akan mengetahui sama ada kes rasuah mereka berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran digugurkan atau diteruskan pada 3 September ini.

Hakim Mahkamah Tinggi George Town, Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mendengar kes itu memerintahkan supaya Jabatan Peguam Negara memaklumkan kepada mahkamah keputusan representasi yang dikemukakan Lim dan Phang untuk menggugurkan pertuduhan terhadap mereka pada tarikh tersebut.

“Tarikh 3 September ditetapkan untuk pengurusan kes bagi maklumkan apa-apa keputusan mengenai representasi. Itu final, pihak pendakwaan sila ambil perhatian, sebab mesti ada noktah untuk jawapan bagi representasi,” kata Hakim Hadhariah.

Terdahulu peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim memberitahu pihaknya telah mengemukakan representasi tersebut kepada jabatan itu pada 6 Julai dan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Daud juga mengesahkan bahawa representasi bagi kedua-dua tertuduh diterima jabatan itu pada hari sama.

“Bagaimanapun pihak kami memerlukan masa sebulan untuk mempertimbangkan representasi itu,? kata Abdul Rashid.

Peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Phang tidak membantah terhadap masa sebulan yang dimohon oleh pihak pendakwaan.

Pada prosiding hari ini, Lim yang kini Menteri Kewangan tidak hadir manakala Phang tiba di mahkamah pada 8.45 pagi.

Pada 9 April lepas, perbicaraan kes rasuah Lim dan Phang ditangguhkan berikutan Lim perlu membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) walaupun penangguhan itu dibantah pihak pendakwaan dan mahkamah menetapkan 21 Mei untuk pengurusan kes itu.

Pada 21 Mei lepas, selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14, Lim dan Phang melalui peguam masing-masing memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menyemak pertuduhan ke atas mereka seterusnya menggugurkan pertuduhan itu.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi mengetahui perkembangan representasi itu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.