PENGERUSI CAAM LETAK JAWATAN

 

Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman tampil bertanggungjawab terhadap perkembangan terbaharu MH370 dengan meletakkan jawatan berkuat kuasa 14 Ogos depan.

Beliau berkata, hasil laporan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Annex 13 ICAO Malaysia bagi MH370 tidak merumuskan bahawa Jabatan Penerbangan Awam (DCA), kini CAAM adalah punca misteri kehilangan pesawat membawa 239 penumpang, pada 8 Mac 2014 lalu.

Bagaimanapun, katanya, beberapa penemuan dikemukakan menerusi dokumen setebal 449 halaman itu menunjukkan pegawai yang ditugaskan untuk menyelia operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATSC) pada hari kejadian tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Oleh itu, dengan penuh kekesalan dan pertimbangan sewajarnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan Pengerusi CAAM, berkuat kuasa 14 hari daripada tarikh notis yang diberikan hari ini.

“Sepanjang empat tahun lalu, saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk membantu operasi pencarian MH370 dan bertekad untuk merungkai misteri malang ini seperti yang dijanjikan kepada waris mangsa.

“Dukacitanya, saya terpaksa berundur dalam keadaan seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Azharuddin yang mula mengetuai operasi DCA sejak 2008 dihimpit pelbagai tugasan berat dan sering diburu media, sejak pesawat Boeing 777-200ER dengan kod 9M-MRO hilang daripada radar menara kawalan ketika berada di ruang udara antara Vietnam dan Malaysia.

Anak jati Temerloh, Pahang ini sering dilihat bergandingan dengan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika itu, sebelum tugas berkenaan diambil alih oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 27 Jun 2014.

Mengulas lanjut, Azharuddin menyifatkan khidmatnya selama 40 tahun menerusi industri penerbangan adalah penghargaan terbaik dalam hidupnya, namun memohon maaf kerana gagal meneruskan perkhidmatannya.

“Industri penerbangan adalah teras kehidupan saya sejak kecil dan ia akan kekal sedemikian untuk sepanjang hayat,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.