PENUMPANG LRT MAUT

 

Seorang penumpang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh di landasan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pusat Bandar Puchong di sini hari ini.

Perkara berkenaan disahkan ketua polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira 8 pagi.

Difahamkan, Prasarana Berhad akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan hari ini.

Ismadi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada kira-kira 7.51 pagi dan setibanya di lokasi, polis menemui mayat lelaki berkenaan terbaring di landasan LRT.

Katanya polis juga tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri semasa memeriksa lelaki terbabit.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian, kami mendapati lelaki berkenaan dilihat keluar dari tren.

“Mangsa kemudiannya, dilihat turun ke landasan sebelum dilanggar tren serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Ismadi berkata polis masih menyiasat punca kejadian itu sama ada lelaki berkenaan mabuk atau cuba membunuh diri.

“Hasil siasatan polis mendapati kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

 

Sumber Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.