EQUANIMITY: ENAM HINGGA SEMBILAN BULAN KENAL PASTI PEMILIK

 

Mahkamah memerlukan tempoh antara enam hingga sembilan bulan bagi mengenal pasti pemilik sebenar kapal mewah Equanimity yang dikaitkan dengan syarikat 1MDB.

Peguam yang mewakili 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Kerajaan Malaysia, Jeremy Joseph, berkata pihaknya ketika ini sedang memohon deklarasi pemilikan kapal itu, tetapi yakin ia dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Firma guaman yang dilantik Jabatan Peguam Negara bertanggungjawab dalam urusan jualan atau lelongan kapal Equanimity,” katanya kepada pemberita di Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang, pada Selasa.

Jeremy berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis waran terhadap kapal mewah ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Pihak berkuasa dan petugas juga perlu memakai sarung kasut bagi menjaga keadaan asal kapal,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya kos penyelenggaraan kapal itu dianggarkan berjumlah RM3 juta sebulan yang ketika ini akan ditanggung sepenuhnya Kerajaan Malaysia.

Kapal mewah Equanimity tiba di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang sekitar jam 12.25 tengah hari Isnin.

Kapal tersebut yang dipercayai milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low telah tiba selepas berlepas dari pelabuhan Batam sejak petang semalam.

Kapal mewah itu yang dianggarkan bernilai RM1 bilion dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menzahirkan penghargaan beliau kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) atas bantuan beliau untuk mengembalikan kapal Equanimity kepada Kerajaan Malaysia.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.