FELCRA SAMAN TIMBALAN MENTERI BELIA DAN SUKAN

 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Khamis, menetapkan 13 September ini untuk pengurusan kes saman FELCRA Berhad yang memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong dan editor Roketkini.com berhubung penerbitan artikel urus niaga haram dalam penjualan minyak sawit.

Peguam, Norja Abdul Razak yang mewakili FELCRA sebagai plaintif ketika ditemui berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin juga menetapkan tarikh 16 Ogos untuk pihaknya memasukkan afidavit jawapan kepada pembelaan.

Pada 6 Jun lalu, FELCRA memfailkan saman itu melalui Tetuan Omar Ismail Hazman & Co dengan menamakan Sim dan editor akhbar dalam talian itu sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, FELCRA mendakwa defendan ada menerbitkan artikel bertajuk ‘Peserta FELCRA rugi RM600 juta setahun akibat urus niaga haram?’ dalam Roketkini.com pada 12 Mac lalu.

Akibat artikel itu plaintif mendakwa reputasinya terjejas selaku organisasi yang ditubuhkan sejak tahun 1966 bagi membangunkan sektor luar bandar.

Plaintif mendakwa perkataan yang diterbitkan itu adalah mengelirukan, berniat jahat dan diterbitkan tanpa sebarang fakta yang kukuh.

Oleh itu, FELCRA menuntut ganti rugi am dan tauladan serta memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan menerbitkan artikel yang sama.

Selain itu plaintif juga menuntut defendan membuat permohonan maaf secara terbuka di dalam akhbar tempatan dan media sosial.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.