KBS SEDIA SOP KESELAMATAN SUKAN ASIA

 

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telahpun melaksanakan beberapa langkah awal berhubung hal-hal keselamatan kontinjen negara ke Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 .

Menurut menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ia termasuklah mesyuarat bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang mempunyai jaringan kerjasama dua hala Malaysia-Indonesia bagi mendapatkan gambaran awal mengenai isu-isu keselamatan.

“Satu prosedur operasi standard (SOP) keselamatan telahpun disediakan. Antara yang disentuh melalui SOP ini termasuklah larangan provokasi sesama penonton. Elakkan berada di tempat yang kita tidak sepatutnya berada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Mohd Shahar di dalam soalannya meminta kerajaan menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh KBS dalam memastikan keselamatan kontinjen negara sepanjang tempoh berlangsungnya Sukan Asia dari 18 Ogos sehingga 2 September 2018 serta apakah inisiatif kerajaan dalam memastikan maruah negara akan terus terbela dan tidak sewenangnya dipermainkan oleh mana-mana pihak di peringkat antarabangsa.

Selain itu ujar Syed Saddiq, kementerian juga telah dapatkan khidmat nasihat daripada Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta yang bersetuju untuk menyediakan Pegawai Penyelaras Keselamatan (SLO) yang akan bekerjasama rapat dengan sekretariat kontinjen.

Menjawab soalan tambahan Mohd Shahar berkenaan sasaran pingat emas kontinjen negara pada temasya itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar memberitahu ia akan diumumkan esok pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara.

Beliau berkata, majlis berkenaan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.