RM18 BILION: KHAIRY GESA TUDUHAN GUAN ENG DISIASAT

 

Barisan Nasional (BN) mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap tuduhan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung dakwaan RM18 bilion wang tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga, ‘dirompak’ oleh Kerajaan BN ketika menerajui negara.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, berkata tuduhan yang dibuat tanpa siasatan terlebih dulu adalah perkara serius dan BN memandang serius mengenainya.

Oleh itu, Khairy tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan itu bagi mendapatkan kepastian serta membersihkan nama BN.

“Jika ia satu tuduhan melakukan rompakan, ia sudah menjadi satu kesalahan dan satu siasatan terbuka perlu dibuat.

“Ia satu tuduhan yang serius dan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa bukti yang kukuh, selain laporan polis, saya juga akan membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.

“Kami juga bagi pihak BN mahu membersihkan nama kerajaan yang lepas, sekiranya berlaku rompakan maka bawalah mereka yang terbabit ke muka pengadilan, sekiranya tidak maka perlu dijelaskan tuduhan tersebut tidak tepat dan tidak benar,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Sentul pada Khamis.

Semalam, ketika membentangkan RUU GST (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat, Guan Eng berkata, kerajaan akan berusaha melunaskan tunggakan tuntutan cukai input bagi GST mulai tahun depan.

Katanya, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lalu berjumlah RM19.4 bilion.

Bagaimanapun, baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, bermakna berlaku kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Guan Eng berkata, RM18 bilion itu dianggap sebagai hasil kerajaan tetapi digunakan untuk menutup defisit yang membawa kepada kekurangan berkenaan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.