RM18 BILION: PAC SEDIA SIASAT

 

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini menggesa kerajaan membawa dakwaan RM18 bilion yang dikatakan “hilang” dari akaun amanah GST kepadanya untuk siasatan.

Pengerusi Datuk Seri Ronald Kiandee mengumumkan kesediaan jawatankuasa yang dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang itu ketika ditemui pemberita di Parlimen pada Khamis.

“Saya cadangkan bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)a dan 77(1) supaya dakwaan RM18 bilion yang dikatakan hilang ini dibawa ke prosiding akan datang,” kata Ahli Parlimen Beluran itu.

Ronald juga mengusulkan menteri kewangan memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana kenyataannya membayangkan pelanggaran tatacara operasi standard kementerian.

Beliau berkata demikian selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mahu Tan Sri Mohd Irwan Siregar Abdullah disiasat secara dalaman, disusuli dengan siasatan terbuka, selepas bekas ketua setiausaha Perbendaharaan itu berkata wang akaun amanah GST tidak hilang.

Akaun amanah itu adalah akaun di mana kerajaan mendepositkan wang untuk membayar balik tuntutan para peniaga.

Lim mencetuskan gempar apabila mendedahkan akaun amanah itu mengalami kekurangan RM18 bilion, yang didakwa hilang semasa pentadbiran Barisan Nasional lepas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata satu laporan akan dibuat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok berhubung kehilangan RM18 bilion itu.

Beliau berkata siasatan dalaman di pihak kementerian tidak memadai memandangkan keseriusan tuduhan yang dibuat Lim.

“Ada unsur-unsur rasuah,” kata bekas ketua Pemuda Umno itu. “Saya harap siasatan tidak dihalang dan tidak diganggu.”

Khairy berkata anggota pentadbiran lepas juga mahu membersihkan nama daripada tuduhan itu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.