SALAHKAN BN TAK SELESAI MASALAH – MAT SABU

 

Kementerian Pertahanan akan meneruskan perancangan program jangka panjang sehingga tahun 2055 yang telah dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) demi kebaikan pelbagai pihak.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, tiada masalah bagi pihak kerajaan PH untuk meneruskan perancangan yang telah dibuat oleh kerajaan terdahulu jika itu terbaik buat rakyat dan negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang ingin mengetahui adakah kerajaan bersedia menambah aset seperti Artificial Intelligence (AI) yang mempunyai harga lebih kompetitif berbanding Maritim Civilian Aircraft.

Ujar Mohammad, pihaknya terbuka untuk meneruskan perancangan kerajaan terdahulu dan mengakui menyalahkan kerajaan BN bukan jalan penyelesaian kepada masalah yang sedia ada.

“Bila kita dah pegang kerajaan, apa sahaja kelemahan, kita perlu baiki dan tidak akan ulangi kesilapan dahulu.

“Kita sedang berbincang mengenai perkara itu, antara untuk membeli Unmanned Aerial Vehicles (UAV) atau Maritim Civilian Aircraft, tetapi kita juga perlu melihat kepakaran Malaysia, yang mana lebih baik,” katanya di Parlimen, pada Khamis.

Terdahulu, Abd Latiff secara berseloroh turut ‘memuji’ Mohammad kerana berani  mendedahkan hanya empat dari 28 pesawat pejuang buatan Rusia miliki Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sukhoi Su-30 mampu terbang.

“Tahniah kerana berani dan bercakap benar hanya empat Sukhoi sahaja boleh terbang. Kami akan sokong jika ada bajet tambahan kepada kementerian pertahanan,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.