SAYA TAK KEJAR JAWATAN – NURUL IZZAH

 

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti kali ini menepis dakwaan beliau mengejar jawatan dalam parti.

Ahli Parlimen Permatang Pauh yang berada dalam Kem Reformasi 20 Tahun bersama Rafizi Ramli, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Beliau yang merujuk kepada desas desus berlaku kepincangan dalam PKR, berkata sudah muak untuk menjawab pertanyaan media berhubung isu berkenaan.

“Itu (pertanyaan) obsesi anda. Rujuk kepada tweet saya (status Twitter). Saya sudah hantar keputusan untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden untuk fokus bertanggungjawab, bukan sekadar jawatan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melancarkan seminar TVET Pemacu Revolusi Industri (IR 4.0), anjuran MIMOS Berhad, di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Pada 5 Ogos lalu, Nurul Izzah menerusi status di Twitternya mengumumkan kemuka borang pencalonan pertahan jawatan Naib Presiden yang diserah melalui wakilnya yang juga Ketua Penerangan Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Beliau turut memuat naik status: “Semoga terus diberi ruang dan mandat. Kita perlu perteguh idealisme, menyelusuri permulaan parti sejak April 1999, dan sentiasa menyantuni rakyat. Kita hanya relevan selagi prihatin isu rakyat.#Reformasi.”

Ketika ditanya sama ada akan memberi laluan kerusi Parlimen kepada bapanya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah tetap mengunci mulut.

“Saya sudah komen pasal ini (laluan) banyak kali dan cukup memadai. Tidak perlu ulang.

“Media boleh rujuk jawapan saya dua hari lepas. Soalan sama ditanya media berkali-kali, (jadi) saya rasa cukuplah saya jawab sekali dan Insya-Allah fokus terhadap tugasan saya,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.