KERJASAMA UMNO, PAS PENTING – TUN ABD HAMID

 

UMNO dan PAS perlu bekerjasama untuk mengelak pertandingan tiga penjuru atau lebih dalam mana-mana pilihan raya yang akan berlaku jika mahu mendapatkan sokongan pengundi semula.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, dalam keadaan sekarang, UMNO tidak boleh berjuang bersendirian kerana tidak memberi kesan yang secukupnya, begitu juga dengan PAS.

Katanya, jika sikap itu dikekalkan oleh kedua-dua parti, maka harapan untuk melihat orang Melayu/Islam bersatu dalam satu parti tidak mungkin berlaku.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), PAS mula angkuh. Dalam UMNO pun ada pemimpin yang terang-terang tidak mahu ada kesepakatan dengan PAS.

“Itu belum mengambil kira pandangan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kedua-dua belah pihak. Mereka mempunyai kepentingan diri. Mereka takut kehilangan kedudukan masing-masing,” katanya dalam catatan terbaharu di laman web beliau, http://www.tunabdulhamid.my.

Abdul Hamid turut memberi amaran selagi PAS dan UMNO kekal bersendirian dan bertanding antara satu sama lain dalam pertandingan tiga penjuru atau lebih, pencapaian PRU-14 akan berulang.

Katanya, PAS dan UMNO perlu sedar dan mengetepikan kepentingan diri demi agama, bangsa dan negara.

Paling kurang, katanya UMNO dan PAS perlu bekerjasama untuk mengelak pertandingan tiga penjuru atau lebih.

“Mula-mula, Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis nampak seperti satu permulaan yang baik tetapi jika peratusan pengundi yang rendah keluar mengundi itu disebabkan oleh penyokong PAS tidak keluar mengundi, kesimpulan yang saya boleh buat ialah ‘Malays never learn’ (Melayu tidak akan belajar).

“Jika beginilah keadaannya, saya khuatir, akan berpanjangan penguasaan DAP,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pertubuhan bukan politik Melayu seperti PERKASA supaya memberi sokongan padu untuk menzahirkan kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu.

“Jika itu dapat dilakukan dalam PRU-15 pun cukup memadai,” katanya.

Beliau juga menyatakan keyakinan gagasan UMNO-PAS dapat diperkuatkan jika PAS dapat keluar daripada kotak pemikiran politik Kelantan.

“Akan ada parti bukan Melayu yang akan mendekatinya semula. Itu jugalah yang berlaku kepada PH. Selepas menang, parti yang menjadi anggota BN pun ada yang lari untuk menyertainya. Hal yang sama boleh berlaku sebaliknya apabila pakatan UMNO kuat semula.

Dalam catatan berkenaan juga, Abdul Hamid menasihatkan UMNO sebagai parti pembangkang supaya meneroka isu yang boleh menyedarkan orang Melayu mengenai kerajaan pusat kepada PH yang dikuasai oleh DAP.

“Kempen PH dalam PRU-14 hanyalah tertumpu kepada mencari keburukan kerajaan BN, terutama sekali kesalahan pemimpin UMNO. Pengundi termakan umpan mereka.

“Sekarang mereka sudah memerintah. Dalam masa tiga bulan pun kita sudah dapat melihat konsesi (concession) yang diberikan kepada orang bukan Melayu/Islam yang diambil daripada orang Melayu/Islam.

UMNO perlu gunakan isu itu untuk menyedarkan orang Melayu bahawa amaran bahaya kejatuhan kerajaan pusat kepada PH yang dikuasai oleh DAP sudah pun mula berlaku, dan banyak lagi akan mengikutinya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ahli Parlimen UMNO tidak mengikut gelagat penyokong kerajaan yang mahu dilihat sebagai hero ketika berbahas di Dewan Rakyat yang kini dapat ditonton oleh rakyat melalui siaran langsung di media massa.

“Tunjukkan bahawa bangsa Melayu adalah satu bangsa yang beradab sopan, berbudi bahasa, malah dalam berhujah pun, Islam mengajar adabnya.

Sementara itu, katanya UMNO sebenarnya berada di atas landasan yang betul tetapi masalah timbul kerana pemimpinnya dilihat mempunyai persepsi rasuah yang sangat tinggi.

“Kedua, profesional yang berminat politik mendapati amat sukar untuk memecah masuk ke dalam susur galur kepemimpinan UMNO, antaranya disebabkan oleh politik wang. Akibatnya, mereka menyertai PAS,” katanya.

“Oleh itu, adalah diharapkan dengan kekalahan UMNO dalam PRU-14, akan terbuka peluang untuk menghapuskan politik wang dalam UMNO,” katanya.

Bagi memulihkan imej dan kredibiliti UMNO, katanya, pemimpin yang sudah hilang kepercayaan umum tidak diberi ruang memegang jawatan dalam parti kerana orang akan melihat bahawa tiada apa-apa perubahan yang berlaku kepada UMNO.

“Maka, pemimpin yang menjadi tanggungan (liability) kepada parti, sama ada kerana persepsi rasuah atau penyalahgunaan kuasa yang tinggi atau oleh sebab lain, hendaklah mengundur diri daripada memegang jawatan dalam UMNO.

“Tetapi, dalam keadaan sekarang, tindakan menyingkir mana-mana pemimpin tidak patut dilakukan kerana ia akan menyebabkan ketidakstabilan dan permusuhan dalam parti, seterusnya melemahkan parti lagi sedangkan inilah masanya untuk bersatu padu dan memperkuatkan semula parti.

Beliau juga menasihatkan kepemimpinan baharu UMNO merenggangkan diri daripada Datuk Seri Najib Razak termasuk mengelak mengutip derma untuk membantu membiayai kos guamannya.

Turut ditegur mengenai Perhimpunan Agung UMNO yang dilihat menjadi pentas pesta untuk parti, bukannya membahaskan isu negara dan hala tuju kerajaan yang memerintah.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.