NAFAS BAHARU PEMUDA SELANGOR – RIZAM

 

Pemuda UMNO Selangor akan berusaha menambah baik serta memberi nafas baharu kepada perjuangan UMNO di negeri ini, kata Ketua Pemuda baharunya, Rizam Ismail.

Beliau berkata, hala tuju UMNO Selangor kini terarah kepada dua dimensi, menjadi pembangkang yang berwibawa serta pentarbiyahan yang berterusan di semua peringkat.

“Insyaallah, saya akan memberi nafas baharu kepada Pemuda Selangor. Ia selaras dengan Pemuda UMNO Malaysia yang mana akan menekankan lima teras agenda yang akan kami perkukuhkan. Perkara ini meliputi hal seperti pengkaderan, pentarbiyahan, pembudayaan ilmu, pemerkasaan rohani dan pengukuhan jati diri.

“Pendekatan kami akan lebih bertunjangkan ilmu dan juga fakta bukan seperti mana pembangkang dahulu yang memainkan sentimen serta emosi berasaskan fitnah dan tohmah,” katanya kepada Watan Online pada Jumaat.

Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar berkata, hala tuju baharu pemuda itu akan diselaraskan di setiap bahagian UMNO di Selangor.

“Insyallah, Pemuda UMNO Selangor juga akan memberi penekanan isu rakyat dan akan memperjuangkan kembali hak rakyat dan anak muda di Selangor amnya,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Pemuda Selangor akan berjuang bersama Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi untuk mengembalikan keyakinan anak muda kepada parti.

“Asyraf Wajdi memenangi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang baharu. Penerimaan perubahan pucuk pimpinan Pemuda UMNO Malaysia ini diterima dengan sangat baik oleh ahli seluruh Negara.

“Gabungan muka lama dan baharu dalam saf kepemimpinan Pemuda UMNO Malaysia dilihat mampu untuk memberikan nafas baharu terhadap perjuangan UMNO selepas ini dalam memastikan parti mampu menjadi pesaing kepada Pakatan Harapan untuk meraih sokongan rakyat.

“Dalam pada masa sama Pemuda Selangor mengharapkan sokongan semua pihak untuk menjayakan agenda yang dirancang,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.