NAJIB BERJIWA BESAR – ANNUAR

 

Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja akan sentiasa dihormati oleh UMNO, malah parti terbesar orang Melayu itu menuntut supaya kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi proses keadilan yang seadil-adilnya kepada bekas Perdana Menteri itu.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Najib yang juga bekas Presiden UMNO malah terbukti individu yang berjiwa besar apabila menegaskan UMNO tidak sepatutnya menanggung beban bagi mempertahankan dirinya yang dilempar fitnah maha dasyat.

“Datuk Seri Najib sentiasa “consistent” UMNO tidak patut tanggung beban pertahan beliau dan beliau mengulanginya lagi semalam. Ini satu pendirian yang sangat berjiwa besar dan patut di hargai.

“Ramai pemimpin (politik) yang menggunakan partinya untuk pertahan mehnah sangat peribadi sifatnya, tetapi Datuk Seri Najib tidak begitu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Justeru, Annuar meminta orang ramai tidak salah mengerti berhubung kenyataannya mengenai beban UMNO dalam terus mempertahankan Najib semalam.

“Sebagai sebuah parti kita harus terus bergerak ke hadapan menjunjung amanah dan menjulang perjuangan.

“Namun seperti kata Datuk Seri Zahid (Presiden UMNO), pemimpin lama perlu di hormati,” katanya.

Najib dalam satu coretan di Facebook semalam memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang hasrat kembali menjadi presiden UMNO dan kepimpinan baharu perlu diberikan kepercayaan dan ruang untuk memimpin.

Jelas Najib, beliau selaku Perdana Menteri dan Presiden Barisan Nasional (BN) sebelum ini menjadi sasaran pihak lawan yang membuat pelbagai serangan fitnah terhadapnya.

Namun, kata Najib, UMNO tidak perlu mempertahankan beliau terhadap fitnah itu kerana beliau yakin dapat mempertahankan diri sekiranya mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah.

“Saya yakin dapat mempertahankan diri saya. Saya juga yakin tidak bersalah terhadap segala pertuduhan. Kesalahan saya hanyalah kerana melakukan yang terbaik demi rakyat, negara dan parti saya.

“Segala tuduhan dan fitnah adalah terhadap saya dan bukan UMNO. Tidak adil untuk UMNO menanggung beban ini,” ujar Najib.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.