SAYA TIDAK KATA NAJIB SALAH – JOHARI

 

Ketua Bahagian UMNO Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani menjelaskan kenyataanya telah disalah tafsir apabila dianggap semata-mata untuk ‘menyerang’ bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya, bekas Menteri Kewangan Kedua itu berkata, beliau menyentuh perkara yag lebih besar daripada itu khususnya membabitkan survival parti dominan orang Melayu itu.

“Bagi mereka yang intelek, rajin membaca (tidak hanya membaca tajuk sahaja) dan tidak berfikiran sempit, mereka akan faham bahawa mesej atau isu yang saya cuba bangkitkan bukanlah semata-mata berkisar tentang Mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Dato Seri Najib Tun Razak.

“Artikel itu menyentuh isu yang lebih besar iaitu dari sudut survival UMNO itu sendiri. Ianya mempersoalkan strategi yang diambil oleh UMNO didalam menghadapi PRK Sungai Kandis, hasil kolaborasi UMNO dengan parti PAS dan hala tuju UMNO sebagai sebuah parti nasional.

“Ianya adalah pandangan saya mengenai masalah bebanan persepsi negatif ke atas UMNO dan kepimpinannya dan juga betapa perlunya UMNO berubah untuk mencapai benchmark atau standard yang lebih tinggi keatas pemimpinnya untuk diterima oleh majoriti rakyat.

“Apa yang saya bangkitkan ialah kemungkinan kehadiran Dato Seri Najib dalam siri kempen yang membawa bersama beliau bebanan persepsi negatif merupakan suatu strategi yang tidak bijak kepada UMNO.

“Saya tidak pernah mengatakan yang Datuk Seri Najib telah bersalah dalam kes rasuah. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip “everyone is innocent until proven guilty”. Prinsip yang sama saya guna kepada YB Lim Guan Eng sewaktu beliau dihadapkan kemahkamah atas tuduhan rasuah apabila wartawan meminta komen dari saya.

“Umum semua tahu yang Dato Seri Najib sekarang ini berhadapan dengan PERSEPSI rasuah dan ini mungkin salah satu faktor menyebabkan undi untuk BN merosot di PRK Sungai Kandis,” tulis Johari dalam satu kenyataan.

Kenyataan terbaru Johari itu dikatakan merujuk kepada komen Datuk Nazir Aktar Hussin yang kurang berpuas hati dengan Pengerusi Wilayah Persekutuan itu yang menyerang Najib.

Sementara itu, Johari berkata sememangnya budaya Melayu itu menuntut agar jasa orang perlu dikenang dan beliau tidak pernah menafikannya tetapi biarlah ianya bertempat.

Katanya, kesetiaan membuta-tuli tidak boleh memberi kemenangan kepada UMNO.

“Begitu juga dalam politik ini kalau nak menyokong pemimpin sokonglah tetapi janganlah sokong membawa rebah.

“Bebanan pesepsi negatif terhadap UMNO inilah yang membawa kepada tsunami pada PRU-14 yang lalu dimana ramai menteri-menteri yang tumbang termasuk diri saya sendiri.

“Calon-calon ini tewas bukan sebab tidak mepunyai kredibiliti, tidak berwibawa atau tidak berkhidmat pada rakyat tetapi mereka tewas atas sebab tsunami pengundi yang inginkan perubahan. Ditambah lagi dengan keinginan majoriti rakyat bandar yang sangat mendesak untuk menumbangkan kerajaan yang dipimpin oleh Dato Seri Najib,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.