UMNO PERLU SINGKIR NAJIB – RAHIM

 

Kepemimpinan UMNO didesak berani melaksanakan langkah drastik, termasuk menyingkirkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak daripada parti itu.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik, berkata barisan kepemimpinan UMNO yang baharu perlu berani berbuat demikian jika benar-benar mahu memperbaiki imej parti keramat Melayu itu yang kini sudah musnah di mata rakyat serta ahli parti itu sendiri.

Beliau berkata, jika UMNO berazam untuk berubah dan memperbetulkan imejnya yang rosak di mata ahli parti dan rakyat, pimpinan parti itu mesti berani membuat keputusan menyingkirkan keahlian bekas Presiden UMNO itu.

“Ia sebagai tanda komitmen perjuangan UMNO yang benci dan jijik terhadap rasuah dan penyelewengan sebagai musuh utama negara serta pembinasa kuasa politik UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya dalam catatan di Facebook peribadinya.

Rahim yang juga Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), berkata penyingkiran Najib itu bukan bererti UMNO tidak mengenang jasanya, sebaliknya ia adalah pengorbanan politik yang perlu demi masa depan parti itu.

Katanya,tanggungjawab utama UMNO adalah memilih kepentingan rakyat sebagai keutamaan nasional berbanding terkial-kial mempertahankan kepentingan individu tertentu.

“Ramai masih sayang dan hormat bekas Presiden UMNO termasuk saya yang sudah berjuang bersama-sama beliau sejak zaman Pemuda.

“Tapi penyingkiran keahlian bekas Presiden oleh UMNO akan dilihat dan dirasai rakyat sebagai pengorbanan politik yang amat besar dan satu manifestasi parti keramat ini untuk memastikan rakyat akan menyokong perjuangannya di masa akan datang tanpa apa-apa keraguan atau prasangka buruk.

“Bukan kami tak sayang bekas pemimpin kami, tapi kami lebih sayang perjuangan UMNO yang keramat ini supaya tidak dikiamatkan,” katanya.

Rabu lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dilaporkan berkata UMNO perlu ‘merehatkan’ Najib daripada sebarang kempen pilihan raya akan datang bagi memastikan permainan persepsi dalam kalangan pengundi tidak terus menjadi ‘racun’ kepada kebangkitan parti.

Ia berikutan persepsi rasuah dan pecah amanah yang masih membelenggu bekas Perdana Menteri itu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.