ISU MARA KE KABINET- TUN M

 

Tun Dr Mahathir Mohamad akan bertemu dengan barisan Kabinet bagi membincangkan isu sensitif berkaitan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Perdana Menteri berkata, isu berkenaan kini sudah menjadi satu isu sensitif dan ia perlu diberi perhatian oleh Pakatan Harapan (PH).

“Saya akan bawa perkara ini kepada menteri-menteri supaya faham betapa pentingnya mereka sensitif terhadap pandangan orang ramai.

“Kalau kita mahukan sokongan orang ramai, kita perlu sensitif kepada pendapat mereka (orang ramai),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepemimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Jumaat malam.

Sebelum ini, isu berkaitan MARA hangat diperkatakan apabila ia didakwa akan dipecah-pecahkan kepada beberapa kementerian.

Selain itu, berdasarkan artikel yang disiarkan di www.abuleman.blogspot.com mendakwa Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa, dalam pertemuan dengan pegawai kanan MARA menyatakan hasratnya mahu membuka MARA untuk semua kaum di Malaysia selepas melawat Ibu Pejabat MARA, baru-baru ini.

Artikel yang memetik sumber itu menyatakan Sivarasa mahu menukar nama sekolah berasrama penuh Maktab Rendah Sains Mara kepada Maktab Rendah Sains Malaysia.

Memetik laporan dalam artikel itu, juga menurut sumber, mendakwa Sivarasa turut diamanahkan untuk menjaga kepentingan MARA yang sepatutnya dijaga oleh orang Melayu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.