‘KITA’ YANG ROSAKKAN UMNO- MOHD PUAD

 

Sehari selepas Datuk Seri Najib Razak ‘diserang’ pemimpin UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tampil membidas pihak yang berbuat demikian dengan menyifatkannya sebagai tunduk kepada persepsi yang sekian lama dicipta pihak lawan.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu menempelak pemimpin parti itu yang menuding jari kepada bekas Perdana Menteri yang turun berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis dikatakan sebagai punca kekalahan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.

“Kenapa kita mesti tuding jari pada Najib sehingga dakwa konon kehadiran Najib berkempen menyebabkan Lokman Adam kalah di PRK Sungai Kandis. Apa jaminan Lokman menang kalau Najib tidak datang?

“Kajian mana diguna untuk mendakwa kehadiran Najib menjadi punca Lokman kalah. Di PRU ke-14, Sungai Kandis, calon UMNO dapat lebih kurang 11,000 undi. Tetapi di PRK baru-baru ini Lokman cuma dapat dalam 9,000 undi.

“Itu bermakna merosot dalam 2,000 undi. Maka apa asas untuk mengatakan kemerosotan undi itu berpunca daripada kehadiran Najib. Sebenarnya kita yang bina persepsi dan membiarkan persepsi terus bermaharajalela,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Ketua Bahagian UMNO Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani mempersoalkan kehadiran Najib ke Sungai Kandis bagi membantu kempen calon BN.

Ia kemudiannya disusuli kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyifatkan parti itu perlu menjarakkan diri dengan Najib yang kini berdepan pelbagai pertuduhan.

Mohd Puad berkata, Najib tidak seharusnya dijadikan mangsa kerana pemimpin UMNO sendiri telah membina imej negatif sehingga ditolak rakyat.

Katanya, UMNO sudah lama didakwa dan dibicarakan serta dijatuhkan hukuman oleh rakyat, namun pemimpin UMNO berbagai peringkat tidak mahu mengaku salah dan tidak berubah.

“Maaf… Saya pernah terasa hati kepada (Datuk Seri) Najib Tun Razak kerana tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 waima saya ahli MT UMNO dan Ketua Bahagian.

“Tidak perlulah saya ulas lanjut di sini. Tetapi antara kebenaran dan persepsi saya tetap mengutamakan kebenaran bukannya persepsi. Kita mengakui Najib mangsa persepsi. Tetapi kenapa kita mesti mengalah dengan persepsi.

“…Jangan lupa, tidak semestinya dakwaan di mahkamah yang belum ditentukan kebenarannya punca persepsi negatif. Kita lupa, tingkah laku kita, kemewahan kita, ‘lifestyle’ kita yang over juga cipta persepsi yang merosakkan imej parti,” katanya.

 

oleh: HASPAIZI MOHD ZAIN

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.