UMNO BUKAN LAGI MUSUH PAS- ABDUL HADI

 

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli PAS bahawa UMNO bukan lagi ‘musuh’ mereka yang perlu diserang kerana tampuk negara kini sudah dikuasai Pakatan Harapan (PH).

Presiden PAS itu turut memberi banyangan yang UMNO adalah rakan baharu mereka dalam usaha mengembalikan kuasa politik umat Islam pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Abdul Hadi turut membidas sikap sesetengah penceramah PAS yang masih ‘ligat’ menyerang UMNO seolah-olah parti itu masih lagi memegang tampuk pemerintahan negara.

“Terdapat kalangan penceramah PAS duduk hentam UMNO… UMNO dah kalah teruk, dia ingat UMNO jadi kerajaan lagi. Mereka perlu ingat yang memerintah sekarang adalah PH bukan UMNO lagi.

“Ini tidak, masih ceramah macam dulu juga, (mereka) ini tak faham dan tak reti (pandai) politik.

“Biar saya sebut terus terang, PAS sebagai parti Islam perlu mengambil satu langkah fiqah muwazanah iaitu pertimbangan untuk memilih (pihak) mana yang lebih baik untuk mempertahankan kuasa politik umat Islam, ini perlu difahami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) di Dewan Majlis Daerah Marang di Marang, Jumaat.

Abdul Hadi berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) lalu memperlihatkan keputusan unik apabila pemerintah tidak seimbang dengan demografi penduduk Malaysia.

“Keputusan PRU lalu ditentukan orang muda berusia 21 hingga 30 tahun dan pengundi bukan Islam. Sebanyak 30 peratus pengundi muda yang baharu setahun jagung ini dan 90 peratus bukan Islam memilih PH sehingga menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Penduduk Malaysia meliputi sebanyak 65 peratus orang Islam tapi yang menguasai Parlimen dengan majoriti mudah ialah bukan Islam.

“Ini menjadikan cabaran untuk kita dan mungkin apa yang diluluskan di peringkat negeri tidak akan diluluskan (di Parlimen), di samping ada orang yang nak cepat jadi Perdana Menteri menambahkan lagi cabaran kepada kita,” katanya.

 

 

Oleh: Haspaizi Mohd Zain

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.