SERANGAN PERIBADI TAK MATANG – ZURAIDA

 

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, menyifatkan serangan peribadi terhadapnya sebagai tindakan tidak matang.

“Saya mengalu-alukan demokrasi dan pertandingan…pada saya ok, sebab ini persaingan sihat. Ya, boleh dikatakan kemungkinan belum cukup matang lagi dan tidak akan dilayan,” katanya di Kota Kinabalu, Ahad malam.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian kepada wartawan selepas Taklimat Setinggan di kawasan Sepanggar dekat sini.

Zuraida mengulas kenyataan calon Naib Ketua Wanita PKR, Datin Faezah Ariffin, dalam satu ceramah di Negeri Sembilan seperti dilaporkan sebuah portal yang mendakwa Zuraida tidak membawa banyak perubahan, sebaliknya punca pelbagai kepincangan ketika menerajui sayap parti itu.

Faezah dilaporkan turut mendakwa, Wanita PKR sekarang tidak berfungsi seperti yang sepatutnya.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata apa yang penting sekarang adalah untuk menguatkan kerajaan dan memperkukuhkan parti.

“Apa yang penting kita kuatkan kerajaan baharu dan bawa lebih banyak kejayaan dalam parti serta kerajaan,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.